Tarikh 16 Mei pada setiap tahun adalah tarikh yang dipilih sebagai sambutan Hari Guru. Oleh itu, ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’ merupakan tema yang dipilih bagi sambutan Hari Guru seluruh Malaysia pada tahun 2018.
Mengapa 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru setiap tahun? 16 Mei dipilih sebagai sambutan istimewa khas buat insan yang bergelar guru kerana pada tarikh yang sama iaitu 16 Mei 1956, Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of The Education Committee) telah diterima sebagai Dasar Pelajaran Negara kita oleh Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislatif Council). Sejak itu, laporan yang dikenali sebagai Laporan Razak itu telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan Negara kita.
Tema Hari Guru tahun 2018 “Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”
Definisi Tema Hari Guru 2018
GURU
Pengajar, pendidik, atau pembimbing yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan Negara.
PEMACU
Individu yang membangun, membina, mendirikan dan membentuk sesuatu untuk mencapai matlamat yang dihasratkan. Dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat serta berkesan untuk memastikan sesuatu sasaran dapat dicapai.
TRANSFORMASI
Guru merupakan individu yang mampu membawa kepada perubahan terutamanya sifat, tingkah laku, pengetahuan, dan pandangan kepada suatu tahap yang lebih baik dan sempurna.
PENDIDIKAN
Suatu tindakan mendidik yang berlandaskan kepada proses membentuk manusia secara seimbang serta menyeluruh.
Huraian Tema Hari Guru tahun 2018
- Tema Hari Guru dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan agenda pendidikan Negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru ialah agen penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan.
- Guru memainkan peranan yang sangat penting sebagai pemacu dalam memastikan transfromasi negara dapat dicapai dengan cepat dan berkesan serta menterjemahkan semua dasar aspirasi negara melalui pendidikan berlandaskan kepada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020).
- Setiap warga pendidik seharusnya mempunyai keinginan dan hasrat untuk memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, memimpin, kemahiran dwibahasa, mempunyai etika, moral serta identity nasional berlandaskan kepada PPPM 2013-2025. Selain daripada itu, guru mempunyai peranan yang sangat penting dalam mendidik modal insan untuk memastikan negara maju sejahtera, berinovasi serta berdaya saing dalam mencapai matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).
- Warga yang berakar nasional serta internasional merupakan tunjang kepada transformasi pendidikan di Malaysia. Oleh hal yang demikian, guru seharusnya sentiasa melaksanakan tugas di luar daripada kebiasaan, berdaya tahan, futuristic serta mempunyai daya pemikian yang tinggi.
Selamat Menyambut Hari Guru tahun 2018 kepada semua warga pendidik.
Sumber: www.moe.gov.my