6 Perkara Penting Mengenai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang Perlu Diketahui Oleh Masyarakat Malaysia.

Walaupun telah menginjak usia bertahun sebagai sebuah pertubuhan yang penting dalam arena pekerjaan, namun masih ramai yang tidak mengenali Pertubuhan Keselamatan Sosial atau lebih dikenali dengan singkatan PERKESO.

Terdapat pelbagai kempen mahupun hebahan yang dilaksanakan oleh kerajaan berkenaan dengan peripentingnya PERKESO, namun masih ada segelintir majikan yang tidak menggunakan kemudahan ini untuk kepentingan pekerjanya.

Oleh kerana itu, majikan mahupun pekerja seharusnya mengetahui secara lebih jelas berkenaan dengan PERKESO untuk kebaikan bersama. Mari kita telusuri apakah perkara penting yang berkaitan dengan PERKESO.

Apakah PERKESO?

Pertubuhan Keselamatan Sosial atau lebih dikenali dengan singkatan PERKESO telah ditubuhkan pada tahun 1971 di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Kementerian Buruh.

PERKESO direka khas untuk melaksanakan dan mentadbir Skim-skim Keselamatan Sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (1969) yang terdiri daripada Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

Pekerja akan diberikan perlindungan berkaitan dengan pekerjaan termasuklah kejadian kemalangan semasa menjalankan kerja, penyakit khidmat, keilatan dan kematian.

Status PERKESO telah ditukar kepada sebuah Badan Berkanun pada tahun 1985 dan mulai melaksanakan sistem saraannya sendiri dibawah Sistem Saraan Baru (SSBP) PADA 1 Januari 1991.

Fungsi umum yang dilaksanakan oleh PERKESO adalah mendaftar dan memastikan caruman majikan dan pekerja, memproses tuntutan dan membayar faedah kepada pekerja yang ditimpa malang dan orang tanggungannya. Jaminan atau faedah pemulihan jasmani kepada pekerja turut diberikan oleh PERKESO, malahan kesedaran keselamatan dan kesihatan terus ditekankan secara serius.
Setelah mengetahui secara ringkas berkenaan dengan latar belakang PERKESO, mari kita lihat berkaitan dengan beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh masyarakat umum berkenaan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO mengamalkan Prinsip Perlindungan Keselamatan Sosial
PERKESO diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab dalam menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-peraturan (Am) Sosial Pekerja 1971. Melalui Akta dan Peraturan, PERKESO memberi beberapa kemudahan secara percuma kepada pekerja:-
Jaminan rawatan perubatan percuma.
Kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.
Faedah kewangan kepada pekerja jika mengalami kemalangan yang mengakibatkan pekerja kehilanganupaya untuk bekerja atau menghidap penyakit.
Orang tanggungan akan diberi jaminan kewangan jika pekerja meninggal dunia.
PERKESO mengamalkan tiga prinsip teras dalam melaksanakan amanahnya iaitu:
Dana Perpaduan
Umumnya, caruman yang akan dibayar kepada PERKESO adalah caruman kepada dana perpaduan (solidarity fund). Jumlah caruman bulanan adalah ditentukan oleh gaji yang diterima oleh pekerja pada bulan tersebut. Melalui caruman ini, kesemua pekerja yang mencarum akan berkongsi risiko yang sama tanpa mengira risiko di tempat kerja yang berbeza mengikut sesebuah industri. Berkongsi risiko bermaksud kesemua pencarum rela hati membenarkan pihak PERKESO menggunakan wang ‘dana perpaduan’ untuk membayar faedah kepada pekerja yang mengalami hilangupaya atau keilatan. Begitu juga dengan wang jaminan kepada orang tanggungan sekiranya mereka meninggal dunia.

Penggantian Pendapatan
Prinsip ini digunakan semasa menentukan jumlah bayaran faedah yang berkaitan dengan jumlah caruman yang dibayar bersesuaian dengan gaji pekerja. Penggantian pendapatan pada masa hilangupaya atau keilatan dari segi prinsipnya menghampiri pendapatan sebenar pekerja yang mencarum. Konsep ini bertujuan agar pekerja tidak merasa pendapatannya terjejas sekiranya mengalami hilangupaya atau keilatan.

Kesaksamaan
Prinsip kesaksamaan adalah asas pematuhan terhadap Akta dan Peraturan. Kesemua majikan dan pekerja yang berdaftar dengan PERKESO adalah diliputi dengan Hubungan Keselamatan Sosial. Konsep kesaksamaan ini turut menjalankan fungsinya sebagai pencegahan daripada berlakunya sebarang kemalangan berlandaskan kepada objektif ‘kemalangan sifar’ dan memupuk budaya hidup yang sihat. Pendekatan konsep ini adalah sejajar dengan definisi sebenar keselamatan sosial pekerja iaitu mengekalkan pekerja di alam pekerjaan sehingga tempoh persaraannya tiba. Sekiranya pernyataan ini dapat direalisasikan maka pendapatan sebenar pekerja adalah lebih tinggi sejajar dengan model ekonomi baru rakyat berpendapatan tinggi. Kaedah ini merupakan jaminan yang memberi peluang kepada pekerja untuk mempunyai motivasi dalam pekerjaan serta pemulihan bagi pekerja yang mengalami keilatan atau hilangupaya.

Kebaikan PERKESO kepada pekerja

Dalam melaksanakan tanggunggjawab dan amanahnya, PERKESO memberikan bantuan dari segi kewangan dan perubatan kepada pekerja. Malahan, dalam masa yang sama sekiranya pekerja mengalami sebarang kemalangan yang menyebabkan pekerja hilangupaya atau mengalami keilatan, ahli tanggungan pekerja akan menerima wang bantuan daripada pihak PERKESO.
Oleh kerana itu, PERKESO sendiri telah menubuhkan 2 skim bagi membantu pekerja sekiranya berlaku sebarang masalah yang tidak diingini.

Skim Bencana Pekerjaan
Bencana pekerjaan bermaksud kemalangan yang terjadi kepada pekerja pada masa menjalankan sesuatu pekerjaannya. Bencana pekerjaan juga disebut sebagai penyakit khidmat kerana berlaku semasa bekerja yang bersesuaian dengan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Skim ini akan memberi perlingungan kepada pekerja berdasarkan kepada 4 keadaan iaitu, kemalangan semasa menjalankan pekerjaan, kemalangan semasa dalam perjalanan yang berhubung dengan pekerjaannya, kemalangan semasa kecemasan, dan penyakit khidmat.

Beberapa faedah yang disediakan berhubung dengan Skim Bencana Pekerjaan iaitu:
Faedah Perubatan
Faedah Hilang Upaya Sementara
Faedah Hilang Upaya Kekal
Elaun Layanan Sentiasa
Faedah Orang Tanggungan
Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional
Program ‘Return To Work’
Faedah Pengurusan Mayat
Faedah Pendidikan

Skim Keilatan
Dibawah Skim ini, pekerja akan diberi perlindungan atas hilangupaya kekal atau kematian yang bukan berlaku semasa menjalankan pekerjaannya. Skim Keilatan ini merupakan insurans kepada pekerja. Seseorang pekerja yang mempunyai insurans akan dikatakan menghidap keilatan sekiranya mengalami kehilanganupaya yang menyebabkannya tidak mampu untuk bekerja semula. Skim Keilatan memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja yang menghidap Keilatan atau kematian atas sebab-sebab tertentu.
Beberapa faedah yang disediakan berhubung dengan Skim Keilatan iaitu:
Pencen Ilat
Bantuan Ilat
Elaun Layanan Sentiasa
Faedah Pengurusan Mayat
Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Dialisis
Program ‘Return To Work’
Faedah Pendidikan

Ketahui Jenis dan Kategori Caruman anda

Setiap pekerja layak dibayar caruman bulanannya oleh majikan mengikut kadar yang telah ditetapkan dibawah Akta. Jumlah caruman yang perlu dibayar oleh majikan juga adalah berpandukan kepada Kadar Caruman. Kadar caruman berdasarkan kepada gaji bulanan yang dibayar kepada pekerja bermula bulan pertama berkerja. Terdapat dua jenis dan kategori caruman yang harus diketahui umum iaitu:

Jenis Pertama (Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan)
Kategori ini mewajibkan semua pekerja yang berumur 60 tahun kebawah hendaklah mencarum dibawah jenis pertama. Sebanyak 1.75% kadar caruman bagi syer majikan, manakal kadar caruman bagi syer pekerja adalah 0.5% daripada gaji bulanan pekerja.

Jenis Kedua (Skim Bencana Pekerjaan Sahaja)
Kategori ini adalah diperuntukkan bagi individu yang telah berumur 60 tahun dan masih bekerja. Kategori ini turut dikhaskan kepada individu yang bekerja melebihi 55 tahun ketika mendaftar serta tidak mempunyai caruman sebelum umur 55 tahun. Jenis kategori ini juga diperuntukkan kepada individu berinsurans yang menerima pencen Ilat tetapi masih bekerja dan mendapat kurang daripada 1/3 gaji bulanan purata sebelum menghidap keilatan. Kadar caruman sebanyak 1.25% daripada gaji bulanan pekerja dan hanya dibayar oleh majikan sahaja bagi perlindungan dibawah Skim Bencana Pekerjaan.

Adakah individu yang bekerja sendiri boleh mencarum dalam PERKESO?

Ya, individu yang bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan tanpa bekerja dibawah majikan juga layak untuk dilindungi oleh PERKESO. Menurut kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, menjelang 2015, bukan golongan yang mempunyai majikan sahaja yang akan dilindungi oleh PERKESO, malahan Skim ini turut melindungi ahli-ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri. Skim ini turut memberi faedah termasuklah kepada pemandu teksi. Keprihatinan PERKESO dalam melindungi kebajikan dan keselamatan sosial bukan hanya kepada individu tertentu tetapi secara menyeluruh. Malahan, PERKESO melindungi setiap yang berdaftar sebagai pekerja tidak kira berapa umur.
PERKESO adalah wajib kepada semua pekerja.

PERKESO mewajibkan semua pekerja yang berstatus warganegara Malaysia yang mempunyai pendapatan RM3,000 kebawah untuk dilindungi dibawah skim-skim yang disediakan oleh PERKESO. Oleh kerana pendaftaran melalui PERKESO adalah untuk seumur hidup maka individu yang telah berdaftar akan terus menjadi ahli walaupun jumlah pendapatan bulanannya telah melebihi RM3,000 keatas. Majikan yang tidak mendaftar dan mencarum bagi pekerjanya akan didakwa dan didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia sememangnya masih kurang mengetahui secara mendalam berkaitan dengan PERKESO. Meskipun PERKESO telah memberikan kebaikan dan sumbangan yang banyak kepada masyarakat terutama sekali pekerja, namun seakan-akan kepentingannya dipinggirkan. Perlindungan dan jaminan PERKESO seharusnya diambil sebagai satu peluang yang baik dalam alam pekerjaan kerana ianya turut melibatkan ahli keluarga kita. Kebaikan PERKESO hendaklah dihebahkan oleh orang ramai agar setiap orang tahu betapa pentingnya PERKESO apabila bersangkutan dengan jaminan perlindungan keselamatan pekerja. Oleh itu, manfaatkanlah PERKESO selagi masih berpeluang.