Pernah tak sewaktu anda hendak memohon pinjaman kereta atau rumah, tiba-tiba pihak bank reject permohonan anda? Pasti waktu itu anda tertanya-tanya kenapa pinjaman anda tidak diluluskan? Padahal kalau ikutkan gaji anda melepasi syarat.
Jika perkara sebegini berlaku, apa yang perlu anda lakukan ialah semak rekod Ctos dan Ccris anda. Ia boleh menjadi punca kenapa permohonan pinjaman anda sentiasa sahaja di tolak oleh pihak bank.
Apa Yang Dimaksudkan Dengan CTOS & CCRIS ?
Pergilah mana-mana bank atau institusi kewangan yang berdaftar, jika rekod Ctos & Ccris anda buruk memang sukar untuk anda mendapatkan pinjaman. Kalau boleh mendapatkan pinjaman sekalipun biasanya mereka akan minta anda untuk menyediakan seorang penjamin. Persoalanya, pada masa sekarang ini ada ke yang berani menjadi penjamin?? Sudah tentu tidak ramai yang sanggup.
Sebab itulah anda perlu menjaga rekod Ctos & Ccris anda. Pasti anda tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan Ctos & Ccris? Jom saya terangkan
Maksud CCRIS
CCRIS adalah singkatan kepada “Central Credit Reference Information System”, atau dalam Bahasa melayu di sebut sebagai “Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit” Segala rekod CCRIS datang dari Bank Negara Malaysia (BNM).
Sebenarnya, ke semua report kredit CCRIS anda diuruskan oleh pihak Biro Kredit BNM. Di sinilah segala maklumat dan segala rekod pinjaman anda di paparkan di dalam CCRIS.
Segala maklumat yang terdapat di dalamnya akan membantu pihak bank untuk menentukan sama ada anda layak untuk membuat pinjaman atau tidak. Jika rekod CCRIS anda elok, peluang untuk permohonan pinjaman anda diluluskan amat tinggi. Namun, kalau rekod CCRIS anda buruk maka peluang untuk pinjaman anda diluluskan sangat tipis atau dalam erti kata lain permohonan anda tidak akan diluluskan.
Maklumat yang pihak bank akan lihat dalam rekod CCRIS anda ialah
- Semua pinjaman yang pernah anda mohon
- Adakah akaun anda berada dalam perhatian khusus atau tidak, yang mana akaun dipantau rapat oleh institut kewangan
- Semua permohonan pinjaman anda yang sudah diluluskan atau sedang diproses dalam tempoh 12 bulan
- Rekod pembayaran bulanan pinjaman anda yang sebelum ini sama ada elok atau tidak.
Maksud CTOS
CTOS adalah singkatan kepada “Credit Tip-Off Service”. Ia diuruskan oleh syarikat swasta yang juga menyediakan laporan kredit. Laporan CTOS juga digunakan oleh pihak bank untuk menentukan kelayakkan pemohon sebelum pinjaman mereka di luluskan.
Biasanya, rekod CTOS ini melibatkan pinjaman yang lebih kecil seperti bayaran bulanan motor, bayaran ansuran barangan elektrik dan sebagainya.
Sama macam rekod CCRIS, pihak bank menggunakan rekod CTOS ini untuk mengetahui keadaan kredit dan keupayaan kita untuk membayar balik hutang pinjaman yang kita mohon.
Antara maklumat yang pihak bank boleh lihat dalam rekod CTOS ialah:
- Status muflis
- Tindakan undang-undang
- Status kes
- Pemilikan dan info perniagaan
Rekod CTOS & CCRIS Boleh Senarai Hitamkan ?
Ramai yang beranggapan CTOS & CCRIS yang menyenarai hitamkan mereka dari membuat sebarang pinjaman. Sebenarnya tanggaapan mereka salah. Ini kerana, CTOS & CCRIS hanya menyediakan rekod kredit anda sahaja bagi tujuan untuk pihak bank menilai kelayakkan membayar balik pinjaman.
Sebenarnya, yang boleh senarai hitamkan anda adalah pihak bank. Dan rekod senarai hitam anda akan berada di dalam ekod CTOS & CCRIS anda
Mengapa Kita Boleh Disenarai Hitamkan Oleh Pihak Bank?
Perkara yang paling ditakuti oleh mereka di luar sana mengenai rekod CTOS & CCRIS adalah disenarai hitam oleh pihak bank. Bila nama sudah di senarai hitam, sudah tentu pihak bank sukar untuk meluluskan permohonan pinjaman kita. Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan anda boleh kena senarai hitam oleh pihk bank. Antaranya:
- Tidak membayar hutang pinjaman yang kita buat
- Menjadi gerentor kepada orang lain dan orang tersebut tidak membayar hutang
- Tidak membayar pinjaman PTPTN
- Membayar hutang lewat pada masa yang ditetapkan
- Tidak membuat membayar bayaran kad kredit
- Rekod pembayaran yang tidak cantik sehingga menyebabkan rekod CCRIS juga menjadi tidak elok.
- Mempunyai tunggakkan bayaran selama 3 bulan dan ke atas
- Anda di kenakan tindakan undang-undang yang diambil oleh bank akibat pinjaman yang tidak berbayar
Apa Kesan Yang Akan Terjadi Apabila seseorang Itu Disenarai Hitam Atau Diishtiharkan Muflis?
Sebenarnya, banyak kesan buruk yang anda akan hadapi apabila anda disenarai di senarai hitam. Sebab itulah, anda perlu menjaga rekod CTOS & CCRIS anda supaya ia tidak memberikan kesan buruk apabila anda hendak membuat pinjaman nanti. Antara kesan buruk yang anda akan hadapi apabila di senarai hitam adalah seperti:
1. Tidak Boleh Keluar Negara
Jika anda telah disenarai hitamkan atau telah di ishtihar sebagai muflis, anda memnag tidak akan dibenarkan untuk keluar negara atas apa jua urusan. Nama, anda juga akan berada dalam rekod imigresen sebagai orang tidak boleh keluar dari negara ini.
Jadi, sebelum anda hendak keluar negara, pastikan anda tidak mempunyai sebarang rekod senarai hitam. Semak dengan pihak bank sama ada anda mempunyai sebarang tunggakkan atau tidak. Jika tiada barulah anda boleh keluar negara dengan gembira.
2. Akaun Bank Anda Akan Dinyahaktifkan
Perkara yang paling buruk apabila anda tidak mampu untuk membayar segala tunggakkan bayaran pinjaman anda. Bila terlampau banyak sangat tunggakkan yang tidak berbayar ia akan menyebabkan anda di ishtiharkan sebagai muflis.
Apabila sudah di ishtiharkan sebagai muflis, akaun bank anda akan dinyaaktifkan secara automatik. Bukan itu sahaja, anda juga tidak boleh membuka sebarang akaun bank dari mana-mana bank sekali pun.
3. Tidak Boleh Bekerja Dalam Profession Tertentu
Apa yang lebih buruk jika anda diishtiharkan sebagai muflis, tidak semua syarikat boleh menerima anda bekerja. Lebih-lebih lagi syarikat berkaitan pekerjaan yang professional dan syarikat kerajaan atau GLC. Ia sudah semestinya akan memberikan kesukaran buat untuk mencari rezeki.
Bukan itu sahaja, jika anda sudah menjadi muflis, anda tidak boleh dilantik sebagai pengarah syarikat serta tidak boleh memiliki perniagaan sendiri.
Anda Perlulah Memastikan Rekod CCRIS & CTOS Anda Berada Dalam Keadaan Yang Terbaik
Kesimpulanya, rekod CCRIS & CTOS amat penting buat diri kita. Justeru itu anda perlulah menjaga rekod pembayaran anda dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan bayaran pinjaman anda tertunggak sehingga memberi kesan buruk kepada rekod CCRIS anda.
Jangan biarkan sampai tahap anda disenarai hitamkan dan seeloknya bayar segala tunggakkan secepat yang mungkin. Jangan biar ia bertambah banyak kerana apabila tunggakkan bertambah banyak dan anda tidak mampu membayar tunggakkan tersebut pihak bank boleh mengishtiharkan anda sebgai muflis. Bila sudah muflis anda tidak boleh melakukan apa jua pinjaman sama ada institusi kewangan atau bank.