Adakah anda mempunyai niat untuk membuat pinjaman peribadi?
Adakah anda sudah mempertimbangkan kebaikkan and keburukkan dalam membuat pinjaman peribadi ini terhadap kehidupan anda?
Jika anda mengatakan YA,Pinjaman peribadi bukanlah suatu perkara yang asing lagi pada masa kini. Membuat pinjaman peribadi boleh dikatakan suatu perkara yang biasa bagi sesetengah orang hari ini untuk memenuhi objektif mereka tersendiri.
Antaranya bagi tujuan melancong, memulakan perniagaan, melangsaikan hutang kad kredit yang mempunyai faedah lebih tinggi, dan yang paling cliché bagi anak muda pada hari ini tidak lain untuk tujuan membuat majlis perkahwinan yang ada class.
Bagaimana lagi anda ingin mendapatkan wang tunai puluhan ribu dengan serta merta bagi tujuan-tujuan seperti ini? Pinjaman peribadi, bukan?
Ha! Malang sekali tidak ramai yang berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk mengambil pinjaman peribadi.
Di sini, ingin kongsikan 4 Perkara WAJIB Anda Tahu Sebelum Membuat Pinjaman Peribadi.
1) Niat Membuat Pinjaman
Sebelum anda membuat keputusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi, anda perlu memahami dan membuat keputusan dengan bijak sebelum membuat permohonan kerana ia melibatkan komitmen bertahun-tahun lamanya.
Patutkah anda membuat pinjaman hanya kerana ingin mengikuti kawan-kawan anda melancong ke luar negara?
Bagaimana pula dengan membuat pinjaman peribadi hanya dengan tujuan majlis perkahwinan yang gah dan hebat?
Fikirlah terlebih dahulu sama ada pinjaman peribadi yang anda mohon atas dasar keperluan atau kehendak.
Contoh yang betul adalah sekiranya anda mempunyai hutang kad kredit yang mempunyai faedah lebih tinggi (mungkin disebabkan faktor kecuaian anda sebelum ini yang mungkin boros berbelanja tanpa disiplin) berbanding faedah sekiranya anda membuat pinjaman peribadi.
Jadi apa yang boleh anda lakukan di sini adalah dengan memohon pinjaman peribadi yang lebih rendah faedahnya berbanding faedah atas hutang kad kredit semasa anda untuk dilangsaikan dengan serta merta dan menggantikan komitmen ansuran bulanan anda dengan membayar ansuran bulanan pinjaman peribadi dengan kadar faedah lebih rendah (gantikan hutang yang lebih jahat dengan hutang yang kurang jahat).
Ya, pinjaman peribadi jenis ini sebagai hutang jahat kerana anda masih perlu menanggung beban kos pinjaman setiap bulan sedangkan pinjaman peribadi itu tidak menghasilkan pendapatan tambahan kepada anda (hutang baik).
Pinjaman peribadi kategori hutang baik contohnya anda memohon RM30,000.00 pinjaman peribadi dengan kadar faedah 6% selama 5 tahun sebagai modal perniagaan.
Ini bermaksud ansuran bulanan anda daripada pinjaman peribadi ini selama
5 tahun = RM579.98.
Sekiranya perniagaan anda mempunyai pendapatan sebanyak RM1,000.00 bersama kos-kos lain RM200.00, anda mempunyai untung bersih sebanyak RM220.02 (1,000 – 579.98 – 200).
Dalam kes seperti ini hutang peribadi anda merupakan hutang baik kerana ia mampu memberi pendapatan tambahan kepada anda setiap bulan. Jadi sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk memohon pinjaman peribadi, fikirlah betul-betul niat anda sebelum memohon
2) Tempoh pinjaman dan kadar faedah
Sebelum anda membuat pinjaman peribadi, anda harus mengetahui kemampuan anda untuk melangsaikan hutang pinjaman setiap bulan.
Katakan gaji bulanan anda RM2,000.00 sebulan.
Perbelanjaan bulanan makanan dan bil-bil = RM700.00,
ansuran kereta = RM400.00,
simpanan = RM300.00,
insurans = RM200.00.
Jadi lebihan pendapatan anda cuma tinggal RM400.00 (2,000 – 400 – 300 – 200).
Anda perlu memastikan komitmen pinjaman peribadi anda tidak melebihi RM400.00.
Buatlah perbandingan sebanyak bank yang anda boleh untuk mendapatkan faedah atas pinjaman paling rendah untuk mengurangkan kos pinjaman anda.
Anda mungkin perlu memanjangkan sedikit tempoh pinjaman anda sekiranya anda tidak mampu untuk melangsaikan dalam masa yang singkat, kerana ansuran bulanan anda menjadi semakin rendah jika tempoh pinjaman anda semakin panjang.
Tapi anda perlu ingat! Semakin panjang tempoh pinjaman, semakin tinggi jumlah faedah yang dikenakan ke atas pinjaman peribadi anda.
Contohnya, anda cuma mampu membayar ansuran pinjaman peribadi bulanan tidak melebihi RM400.00 dan anda memerlukan tunai segera sebanyak RM20,000.00 dengan kadar faedah atas pinjaman paling rendah yang ditawarkan oleh bank kepada anda adalah 5%.
Maka anda boleh pilih untuk memanjangkan sedikit sahaja tempoh pinjaman anda selama 5 tahun supaya komitmen bulanan anda menjadi RM377.42 (dibawah RM400.00) dengan jumlah bayaran selama 5 tahun sebanyak RM22,645.20,
Daripada anda memilih tempoh pinjaman selama 9 tahun dengan ansuran bulanan sebanyak RM230.35 tetapi jumlah bayaran anda selama 9 tahun menjadi RM24,877.80 (kos lebih tinggi sebanyak RM2,232.60).
Dalam situasi ini anda tidak perlu memanjangkan tempoh pinjaman lebih dari 5 tahun kerana jumlah faedah atas pinjaman anda lebih rendah dan anda mampu untuk melangsaikan hutang secepat mungkin supaya lebih awal anda bebas dari bebanan hutang pinjaman peribadi.
Walau bagaimanapun, lain orang pula lain keperluannya.
Dalam situasi perniagaan pula, anda mungkin memerlukan lebihan tunai bulanan yang lebih banyak dengan cara meminimakan ansuran bulanan walaupun jumlah faedah atas pinjaman lebih tinggi bagi memastikan perniagaan anda mampu beroperasi dengan lancar.
Merancanglah dengan sebaiknya terlebih dahulu beberapa hari sebelum anda membuat komitmen selama bertahun-tahun ini!
3) Kesan skor ‘CCRIS’ anda
Central Credit Reference Information System (CCRIS) adalah sistem yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia untuk merekod maklumat kredit anda. Ini bermakna setiap kali anda membuat sebarang permohonan bagi apa-apa jenis produk pinjaman,
Rekod CCRIS anda akan digunakan oleh institusi kewangan atau bank untuk menilai dan membuat keputusan sebelum memberi sebarang pinjaman kepada anda.
Antara pinjaman yang direkodkan dalam CCRIS adalah pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman kad kredit, pinjaman ASB, PTPTN dan pinjaman peribadi.
Ya, pinjaman peribadi akan termasuk ke dalam rekod CCRIS anda.
Antara faktor yang akan disemak adalah jenis hutang yang anda buat.
Berapakah jumlah komitmen hutang bulanan anda?
Adakah anda membayar komitmen hutang bulanan anda dengan cantik (tiada lewat bayaran) dalam tempoh setahun?
Adakah anda mampu untuk melangsaikan hutang anda sekiranya permohonan pinjaman baru diluluskan?
Sekiranya anda tercuai bagi bulan-bulan tertentu daripada menjelaskan pinjaman peribadi anda, ini akan merosakkan kualiti rekod CCRIS anda.
Seterusnya akan menyebabkan anda dikenakan kadar faedah yang lebih tinggi dan tidak mustahil bagi kes tertentu anda menghadapi kesukaran untuk diluluskan daripada mendapatkan mana-mana pinjaman yang dimohon.
Sekiranya anda ingin membuat pinjaman peribadi, mintalah kepada pegawai yang meluluskan permohonan anda untuk mengisi borang auto debit atau potongan secara automatik dari akaun peribadi anda untuk memaksa anda menjelaskan hutang anda terlebih dahulu pada setiap 1 hari bulan.
4) RIsiko Lewat Memilik Aset
Sebagai seorang yang celik kewangan, anda sepatutnya lebih mengutamakan pemilikan aset dari seawal usia 20an supaya tidak ketinggalan dengan kenaikan harga rumah dalam jangka masa panjang.
Beli rumah susah?
Tak kan nak duduk selama-lamanya?
Harga rumah mahal?
Ya, harga rumah sepanjang zaman tidak pernah murah.
Cuba anda fikirkan sebentar.
Adakah anda yakin bahawa selepas 10 tahun, kadar kenaikan pendapatan anda mampu mengejar kadar kenaikan harga rumah disebabkan faktor inflasi?
Sekiranya tiada keperluan untuk membuat pinjaman peribadi, sebolehnya elaklah dan gantikannya dengan pinjaman perumahan sebagai hutang baik dengan menyewakannya kepada orang lain dengan kadar sewa yang mampu menampung ansuran bulanan perumahan anda.
Namun persiapkanlah diri dengan ilmu yang cukup terlebih dahulu sebelum memiliki rumah. Tiada alasan ‘tidak mampu’ untuk mendapatkan ilmu kewangan dan hartanah lagi pada era ini.
Sekiranya anda sudah memiliki hutang peribadi, adalah menjadi lebih sukar untuk anda memiliki rumah kerana telah mempunyai 1 komitmen di bawah tanggungan anda.
Ini kerana bank akan menggunakan sistem Debt Service Ratio (DSR) untuk mengukur tahap kemampuan anda dalam memiliki hutang.
Sebagai contoh,
Graduan A bergaji RM2,500.00 sebulan,
dengan hutang PTPTN = RM100.00,
pinjaman peribadi = RM500.00,
pinjaman kereta = RM400.00.
Contoh Pengiraan DSR = 2,500 x 60% – 100 – 500 – 400 = RM500,00 sahaja.
Sekiranya munggunakan formula kali100 bermaksud Graduan A hanya layak memiliki rumah RM50,000.00 sahaja.
Ya ini belum ambil kira faktor masalah CCRIS seperti saya terangkan sebelum ini (Rujuk point ke-3).
Bagi kes yang lain,
Graduan B bergaji RM2,500.00 sebulan,
dengan hutang PTPTN = RM100.00,
pinjaman kereta = RM400.00.
Contoh Pengiraan DSR = 2,500 x 60% – 100 – 400 = RM1,000.00
Sekali lagi gunakan formula magic kali 100, bermaksud Graduan B layak untuk memiliki harga rumah bernilai RM100,000.00.
Boleh nak beli rumah apartment kos rendah dahulu untuk disewakan dan memiliki rumah idaman pada masa akan datang.
Bagaimanapun, setiap bank mempunyai cara kira DSR yang sedikit berbeza dan sentiasa berubah-ubah dalam tempoh tertentu, anda boleh rujuk kepada pegawai bahagian kredit setiap bank untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap dan terkini.
Jadi dengan hutang baik yang anda buat, anda berpotensi untuk mempunyai kesenangan pada masa akan datang, berbanding membuat pinjaman peribadi yang mungkin cuma bersenang-senang dahulu dan sengsara kemudian.
Jadi, fikirkanlah. Adakah pinjaman peribadi ini keputusan yang bijak lebih-lebih lagi ia digunakan hanya untuk tujuan ‘Raja Sehari’ di majlis perkahwinan anda yang gah dan menanggung komitmen bulanan yang tinggi selama bertahun-tahun?! Ha!
Kesimpulannya, buatlah keputusan untuk diri anda sendiri dengan bijak sebelum terlambat.
Tidak dinafikan bahawa pinjaman peribadi juga ada kebaikannya, tetapi keburukannya lebih banyak.
Kalau anda di dalam situasi yang lebih baik untuk membuat pinjaman peribadi, maka silakanlah.
Jangan lupa untuk memohon pinjaman islamik bagi yang muslim supaya tidak terjebak dengan unsur riba.
Semoga kita dibebaskan dari hutang-hutang jahat secepat mungkin untuk achieve financial freedom dan merancang sebaiknya untuk tabung persaraan kita dalam jangka masa panjang.